ASAL USUL NASI AYAM HAINAN

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

TEKS : NOOR JOHA AHMAD

Menikmati nasi ayam sememangnya menyelerakan biarpun hidangannya ringkas, cukup dengan ayam, sup, timun, salad serta kuah cili dan kicap. Itulah uniknya nasi ayam, kerana ia boleh dinikmati tanpa lauk tambahan yang lain kecuali sayuran seperti tauge tumis, kerabu mangga dan kailan goreng.

Nasi ayam Hainan yang kian popular di negara kita mempunyai cerita menarik di sebaliknya. Yang dinamakan nasi ayam Hainan sebenarnya ayam yang direbus dan ia berwarna putih. Tetapi di negara kita ayamnya digoreng ataupun disiramkan minyak sehingga kulitnya menjadi keperangan.

Hainan merupakan sebuah pulau kecil yang terletak di Tenggara China. Asal-usul nasi ayam yang berasal dari kepulauan itu ialah di satu bandar bernama Wenchang. Nasi ayam Wenchang adalah nasi ayam yang paling popular dan ia dinamakan sempena ayam Wenchang.

Sebelum popular sebagai salah satu makanan di negara kita, nasi ayam Hainan mula masuk ke negara Singapura sekitar awal abad ke-20 menular ke negara kita oleh kaum Cina seperti di Ipoh, Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebelum menular ke beberapa negeri lain.

Kalau di Wenchang nasi ayamnya tidak ada yang digoreng, kecuali yang berwarna putih (rebus). Nasi ayam dari kepulauan Hainan yang terletak di daerah Nan itu kemudian dicampuradukkan dengan resipi kantonis dan Hainan.

Bercerita tentang Wenchang, penduduk di situ kebiasaannya akan menghidangkan nasi ayam kepada tetamu yang hadir untuk apa saja majlis yang diadakan sebagai tanda penghormatan. Mereka bangga dengan hidangan nasi ayam yang disebut-sebut sebagai identiti kuisin negara China.

Ayam dari Wenchang memang popular dengan keenakan isi dagingnya dan ia telah dibela sejak dinasti Ming pada 1368 hingga 1644. Maka tidak hairanlah jika ayam dari bandar itu dipersembahkan kepada maharaja Ming sebagai hadiah istimewa dari Wenchang. Setelah menikmati masakan ayam dari Wenchang, maharaja terus menamakannya sebagai ayam Wenchang.

Nasi ayam Hainan biasanya dihidang bersama kicap masin, hirisan daun ketumbar, minyak bijan, sos cili dan halia.
Rahsia keenakan ayam Wenchang dipercayai kerana ia dibela di kawasan Hainan yang mengalami iklim tropika dan ayam-ayam itu dibela di bawah pokok getah dan bayan yang banyak menghasilkan cacing. Makanan semula jadi dari tanah itu menjadikan kulit ayam nipis dan isinya lembut.

Secara tradisional nasi ayam Wenchang dimasak dengan cara merebus ayam dalam air stok dan kemudian dilumurkan dengan bahan perapan cara Hainan. Ia biasa menggunakan bawang putih, halia, kicap, garam dan jus oren. Walaupun ramuannya nampak mudah tetapi jika tersalah sukatan rasanya akan lari dan tidak enak. Selain itu faktor suhu panas air mendidih juga mempengaruhi rasa enak ayam.

Satu tips untuk mendapatkan kulit ayam yang cantik walaupun direbus dalam air panas, ia dengan mencelup ke dalam air berais secepat mungkin selepas ia diangkat dari rebusan. Teknik ini dilakukan untuk mendapatkan kulit ayam yang berkilat dan segar.

Bagi orang Hainan, stok rebusan air sup, ia bukan sahaja menggunakan rasa hasil rebusan ayam, tetapi ia juga menggunakan rebusan tulang-tulang daging. Mereka tidak menggunakan air rebusan itu untuk memasak nasi, seperti mana orang kita lakukan untuk memasak nasi ayam.

Bahan untuk memasak nasi, selain halia dan bawang putih, mereka menggunakan stok ayam hasil daripada air kukusan ayam.

Ada beberapa teknik lain cara memasak ayam di Hainan. Ada yang merebus ayam (bersaiz sederhana) untuk dijadikan hidangan, dan ayam yang bersaiz besar direbus untuk mendapatkan stok yang dijadikan campuran untuk memasak nasi dan dijadikan sup.

Ini kerana ayam bersaiz besar menghasilkan lemak yang lebih dan ia akan menjadikan nasi ayam menjadi berminyak dan enak.

Teknik merebusnya biasanya menggunakan bawang putih, daun bawang, dan halia. Ada yang merebusnya sehingga 45 minit sekali gus dalam air mendidih (api besar) selama setengah jam dan 15 minit menggunakan api yang lebih kecil.

Ada juga menggunakan teknik rebus – matikan api – cuci dan rebus kembali. Caranya; didihkan air masukkan ayam selama 10 minit. Kemudian matikan api selama 15 minit dan biarkan ayam terendam dalam air panas tadi. Setelah itu angkat ayam dan cuci. Hidupkan kembali api dan biarkan air mendidih lagi, dan masukkan semula ayam dan biarkan mendidih selama 10 minit. Matikan api dan biarkan 15 minit lagi. Kemudian angkat dan gantung ayam agar airnya dapat dituskan.

Air rebusan itu kemudian dicampurkan dalam beras untuk dimasak. Cara memasak nasinya juga ada beberapa teknik. Ada yang mencampurkan kulit ayam dan lemak ayam dengan cara menumis terlebih dahulu sebelum dituangkan stok ayam.

Ada juga yang menggunakan mentega ataupun marjerin dan ditumis bawang putih dan halia, kemudian dimasukkan beras dan ditumis terlebih dahulu sebelum dituangkan air stok.

Begitulah cara mereka memasak nasi ayam, tetapi bahan yang penting ada sewaktu menanak nasi cuma halia, bawang putih, gula, garam dan daun pandan.

Ada sesetengah orang kita mencampurkan serai selain daun pandan. Bagi saya terserah anda untuk mendapatkan nasi ayam yang enak mengikut cita rasa sendiri. Nasi ayam juga ada pelbagai warna, putih berminyak, kuning cair, kuning pekat dan coklat. Warna-warna itu ada yang terhasil campuran kunyit serbuk, kicap, dan juga marjerin.

FOTO : SUMBER GOOGLE

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan