FOTO : SUMBER GOOGLE
Pasta yang popular dan paling digemari di negara kita ialah spageti kabonara, spageti bolognis dan juga olio. Kebanyakan hidangan pasta di tempat kita menggunakan pasta kering yang dijual di pasar-pasar raya, dan jarang sekali orang kita yang boleh dan pandai membuat pasta segar. Selain spageti, orang kita juga sudah biasa dengan makaroni, linguini, dan pelbagai jenis pasta lain.
Lain ceritanya di tempat asal pasta, iaitu Itali yang menghasilkan pelbagai jenis hidangan pasta yang menyelerakan. Biarpun hidangan pastanya agak mudah dan ringkas, tetapi ia nampak menyelerakan. Selain penggunaan pes tomato, orang di Itali pandai mempelbagaikan resipi pasta mereka.
Cara penyediaan pasta yang biasanya menggunakan minyak zaitun, keju, bawang, tomato bukan lagi satu hidangan popular, ini kerana mereka boleh variasikan resipi hidangan pasta dengan bahan-bahan lain.
Di bawah adalah antara beberapa jenis pasta yang popular dan sering dimakan di Itali. Ia juga boleh didapati di restoran Itali dan hotel-hotel di negara kita.
Con le sarde
Hidangan pasta ini popular di bandar Sicily, Itali yang terletak di pinggir laut. Pasta ini dihidangkan menggunakan ikan sardin segar, biji pain, mentega dan juga minyak zaitun.
Malloreddus alla Campidanese
Pasta ini menggunakan doh tepung yang direbus dalam air panas dan hampir sama dengan gnocchi. Sos yang digunakan sudah pasti dari buah tomato segar dan ditambah dengan safron bagi menghasilkan aroma yang lebih menarik. Hidangan ini popular di pulau Sardinia, Itali.
Orecchiette
Ia popular di Puglia dan hidangan ringkas ini hanya menggunakan brokoli dan ramuan tambahan lain.
Gnocchi alla sorrentina
Gnocchi dari Sorrento menggunakan adunan doh kenyal dan kemudian dibakar menggunakan sos tomato dan keju mozarela dan daun basil.
Spageti alla puttanesca
“Spageti sampah’’, itulah julukan yang dibagi untuk hidangan ini kerana ia menggunakan terlalu banyak ramuan. Hidangan berasal dari Campania ini menggunakan minyak zaitun, kapers, tomato, minyak zaitun dan juga bilis jeruk.
Tacconelle
Pasta dari Abruzzo di kawasan tengah Itali ini diperbuat daripada tomato segar, basil, bawang putih, minyak zaitun dan keju pecorino.
Penne all’arrabbiata
Pasta jenis penne ini berasal dari Lazio diperbuat daripada sos pedas dengan tomato, bawang putih, cili benggala dan minyak zaitun.
Testaroli
Ia dinamakan lempeng dan berasal dari Liguria dan dihidangkan bersama pesto.
Corzetti
Pasta ini dibentuk menggunakan kayu yang diketuk pada doh bagi mendapatkan bentuk yang menarik.
Cappellacci
Cappelacci diisi dengan ricotta, bayam dan labu.
Anolini
Ia popular di Parma dan pasta berkuah ini diisi dengan daging serta campuran sayuran.
Casunziei
Pasta yang berasal dari Veneto ini berbentuk bulan sabit dan diisi dengan ubi bit dan ditaburkan dengan biji popi.
Tajarin al burro e salvia
Hidangan ringkas ini diperbuat daripada mentega, dan herba sage berasal dari Piedmont.
Pici all’aglione
Ia juga dinamakan mi kerana ia lebih tebal berbanding spageti. Berasal dari bandar Tuscany hanya dimasak dengan sos tomato dan bawang putih.
Pizzoccheri
Pasta pendek ini dimasak dengan bahan tambahan sayuran hijau dan potongan kentang rebus.
Kabonara
Hidangan dari Rom menggunakan kuning telur, tiga jenis keju dan krim menggunakan kepingan daging lembu.