Oleh: Tajul Ariffin Abu Hassan

Foto: Muhammad Shahir Noordin & koleksi Port

Pernahkah anda bertelagah dengan rakan atau ahli keluarga hanya memikirkan tempat untuk menikmati juadah kerana selera dan keinginan masing-masing yang berbeza? Pasti perkara itu pernah berlaku.

Oleh itu, restoran Port yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Rizamudin Mugeni dan Norhani Abd Aziz, di seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor amat sesuai kerana menawarkan pelbagai seleksi makanan untuk pilihan anda.

Menurut Rizamudin, restoran Port mengetengahkan konsep semua di bawah satu bumbung. Restoran yang dibuka pada Februari 2014 itu menampilkan pelbagai rangkaian pilihan makanan seperti makanan barat, pasta, Arab, Indonesia dan tempatan pada harga yang berpatutan.

“Di sini kami menyajikan pelbagai pilihan rangkaian makanan kepada para pengunjung. Untuk itu secara tidak langsung ia turut memudahkan para pengunjung terutama yang datang satu keluarga kerana tidak semua ingin menikmati hidangan yang sama. Apa yang pasti, di sini kami menyajikan yang terbaik buat anda,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.

Mengenai nama unik yang dipilih untuk restoran itu, Rizamudin berkata mereka mahu pelanggan menganggap restoran mereka sebagai tempat lepak atau tempat berkumpul sambil menikmati juadah yang ditawarkan di Port.

Boleh memuatkan seramai 50 orang pelanggan pada satu-satu masa, keistimewaan restoran Port ialah makanan barat dan pasta. Antara menu barat yang sering menjadi pilihan pelanggan seperti chicken chop, ayam panggang dan burger bakar Beefzooka.

Untuk penggemar pasta, Picknik menawarkan pelbagai hidangan pasta seperti spaghetti Arabita, spaghetti bolognese, spaghetti carbonara, spaghetti mushroom, fettuccini alfredo, seafood aglio olio, mac and cheese,  beef stroganoff pasta dan lain-lain lagi.

Selain itu, antara makanan yang sering menjadi pilihan pelanggan seperti nasi arab mandy, mi bakso, nasi ayam penyet dan macam-macam lagi.

Port turut menyediakan pelbagai pilihan pencuci mulut dan minuman. Antara yang menjadi pilihan pelanggan adalah macarons, kek double chocolate indulgence, panna cotta, creme brulee dan creme caramel.

Selain beroperasi sepenuhnya sebagai sebuah restoran, Port turut menawarkan khidmat katering untuk pelbagai majlis. Anda boleh berbincang dan memilih menu yang diingini sama ada menu yang ditawarkan di Port atau menu lain mengikut cita rasa anda.

Jadi, buat anda yang ingin merasai sajian unik yang disediakan restoran Port boleh kunjungi restoran yang dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula 10.00 pagi hingga 11.00 malam. Pasti anda tidak akan kecewa.