Ramai orang masih kurang jelas mengenai kepentingan dan jumlah pengambilan sayur-sayuran serta buah-buahan harian. Ada yang menganggap, asalkan mereka ada mengambil sayur-sayuran hijau (walaupun sekadar satu atau dua hidangan sehari) sudah mencukupi. Anggapan ini perlu diperbetulkan kerana sayuran hijau hanya membekalkan zat tertentu saja.
Sayur-sayuran dan buah-buahan berlainan warna membekalkan zat yang berbeza dan semuanya amat penting untuk kesihatan. Kalau dapat mengambil semua warna sayur dan buah iaitu hijau, merah, kuning-jingga, putih dan biru-ungu setiap hari, lebih baik.
Ini kerana setiap warna mengandungi fitonutrien atau nutrien tumbuh-tumbuhan berlainan yang bertindak sebagai antioksidan untuk melindungi sel dan mempunyai manfaat kesihatan.
Jom kita semak khasiat dan manfaat bagi setiap kumpulan:
Hijau
Mengandungi fitonutrien isotiosianat, lutein, zeantin, beta karotein dan Epigallocatechin gallate (EGCG) untuk kesihatan sel, paru-paru, menyokong fungsi arteri atau salur darah dan hati serta meningkatkan penyerapan kalsium. Contohnya ialah semua sayur yang berwarna hijau termasuklah teh hijau dan epal hijau.

Kuning-jingga
Mengandungi alfa karotein, beta karotein, beta kriptozantin dan hesperidin yang penting untuk kesihatan mata; meningkatkan daya ketahanan badan; mengekalkan penghidratan, pertumbuhan dan perkembangan yang sihat. Sumbernya ialah oren, labu, lobak merah, aprikot, keledek, limau, betik, jagung, nanas, lemon (limau kapas), buah markisa.
Putih
Mengandungi alisin, kueresetin, isoflavon, EGCG, isotiosianat dan antosianin bagi mengekalkan kesihatan tulang, memperbaiki peredaran darah dan menyokong fungsi salur darah serta merangsang fungsi enzim dalam badan. Contoh sayur dan buah berwarna putih ialah buah pir, kacang soya, bunga kubis, bawang putih, lobak putih, kacang putih, cendawan, pisang dan kentang,
Biru-ungu
Mengandungi kuersetin, resveratrol, asid elargik, antosianidin dan prosianidin. Ia mempunyai ciri antioksidan yang kuat, berperanan penting melindungi tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas, menyokong kesihatan jantung, salur darah dan kulit serta melancarkan proses pencernaan. Ia boleh didapati daripada buah dalam tin, beri biru, kubis ungu, anggur hitam, terung, keledek ungu, kacang hitam, plum, bawang merah dan bit.