Tanggapan pertama memberikan persepsi yang cukup baik. Susun atur dan hiasan dinding yang cukup artistik memberikan impresi ‘wow’. Langkah pertama masuk ke Kafe Karyabhara seakan-akan menyuntik satu tenaga baru dalam diri. Pantas kreativiti terus menyelinap ke seluruh nadi.

Tercetusnya Karyabhara adalah ilham daripada bahasa Nepal yang bermaksud ‘the assignment’. Menurut pemilik, Jumaitul Lalily Zakiah, lokasi strategik kafe yang terletak di antara kolej terkemuka di Cyberjaya membuatkan kafe ini menjadi pilihan utama pelajar-pelajar.

Terbahagi kepada dua ruang, ruang bawah di dedikasikan kepada pengunjung yang ingin bersantai dan menikmati muzik ‘live’ di pentas kecil yang dilengkapi beberapa alatan muzik. Jika anda suka menyanyi, boleh sahaja menyumbangkan suara.

Manakala ruang atas pula khusus untuk pengunjung yang mahukan privasi dan mahu menyempurnakan tugasan ‘assignment’. Menurut Jumaitul, ruang atas kebiasaannya ditempah khas untuk majlis seperti sambutan hari lahir dan apa sahaja majlis yang bersesuaian.

Dekorasi santai dengan susun atur meja dan hiasan ‘rare’ membuatkan pihaknya tidak putus-putus menerima tawaran pengunjung yang berminat untuk memilikinya. Namun ulasnya, tawaran itu terpaksa ditolak dengan baik memandangkan barangan koleksi yang disimpan mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Sebelum ini memang kami menjual segala yang dipamerkan berikutan permintaan tinggi, namun hiasan yang tinggal kini hanyalah untuk pameran sahaja. Kami sengaja pelbagaikan dekorasi di setiap ruang untuk memberikan ‘feel’ yang berbeza. Setiap kerja tangan artistik ini adalah hasil daripada rakan-rakan kami sendiri dan kami bantu pamerkan untuk pengunjung sama-sama dapat menghayati hasil seni mereka.”

Karyabhara mempunyai tarikan tersendiri. Harga hidangan turut memainkan peranan, memandangkan kafe ini menjadi pilihan utama pelajar-pelajar. Bayangkan, dengan hanya RM5.00 anda sudah boleh menikmati Kampung Chicken Burger di kafe eksklusif ini. Memang berbaloi dan rasanya sangat enak. Kami di SAJI berikan, 10 mata bonus untuk Karyabhara.

Karyabhara menawarkan lebih dari 20 jenis menu fusion dan barat pada harga RM3.90 sehingga RM20.00. Antara menu popular adalah Grilled Lamb Chop, Lamb Supreme Burger, Nasi Lemak Special Karyabhara dan Nasi Goreng Karyabhara.

Bagi penggemar kopi pula, terdapat pilihan untuk anda nikmati dan pastinya ianya  membangkitkan selera dengan aroma yang cukup mengiurkan. Kafe Karyabhara beroperasi setiap hari Ahad hingga Khamis dari pukul 5.00 petang hingga 2.00 pagi, manakala Jumaat dan Sabtu dari 5.00 petang hingga 2.00 pagi.