Bukan sengaja mahu buat gempak, namun percayalah segala menu di Sarawak ada di Dapopuro.  Pertama kali mencuba Nasi Aruk bersama Santubong Platter, fuhhh, rasa dia memang mengancam. Lebih-lebih lagi Nasi Aruk Terubuk Masin dan Nasi Aruk Buah Dabai. Suapan pertama memberi definisi yang sukar untuk digambarkan kelazatannya.

Kata pemilik, Mieza dan Redzul Radzon, bukan sebarang ikan terubuk yang digunakan. Semuanya dibawa khas dari Sarawak untuk mengekalkan keaslian rasa. Senang cerita, nasi aruk ini perinciannya lebih halus daripada segi rasa dan cara pembuatan.

Minuman popular di Sarawak pun ada di sini. Paling sedap ialah Teh C Peng Special. Memang sedap sebab menggunakan Gula Apong Sarawak.

Siapa yang rindu buah dabai, Dapopuro ada ubatnya. Selain dibuat nasi goreng, buah dabai juga dijual secara kilo di kafe sekiranya tiba musim. Jadi, sentiasa update di laman sosial Dapopuro ya.

Lebih menarik, setiap hujung minggu, Dapopuro menyajikan pelbagai menu istimewa seperti Linut, Nasi Campur Sarawak, Ayam Pansoh, Kuyong Masak Kicap dan Tempoyak Goreng. Siap ada platter Linut uolsss.

Menurut Mieza yang berasal dari Pengkalan Kampung Lintang Sarawak, dekorasi kafe miliknya adalah hasil daripada sumbangan pelanggan yang datang.

“Sudah menjadi budaya di Sarawak, pelanggan akan datang membawa buah tangan untuk kedai. Dan kami masih amalkannya di sini. Jadi terhasillah hiasan ini.”

Dan ulasnya, Laksa Sarawak di sini masih mengekalkan keaslian rasa dengan penggunaan rempah yang kuat. Dan ini merupakan antara killer menu yang mendapat sambutan yang cukup hebat.

Mee Kolok, menu wajib yang harus dicuba. Masih ramai yang keliru cara menikmatinya. Jadi jom Saji ajarkan. Ambil dua sudu sup dan masukkan ke dalam mee untuk melembutkannya. Jangan masukkan semua kuah sup, nanti jadi mee sup pula. Selepas itu, masukkan sos atau cili kicap dan gaul sebati.

Nasi Lemak Antu

Wow, dengar nama pun sudah menakutkan. Apa yang menarik disebalik nama Nasi Lemak Antu, katanya, menjadi budaya di Sarawak makan lewat malam bermula jam 12.00 tengah malam. Dan disebabkan itu, masih ada peniaga yang beroperasi daripada rumah. Jadi Nasi Lemak Antu hanya akan dihulurkan melalui tingkap dan tidak nampak siapa yang menghulurkannya. Jadi terhasillah Nasi Lemak Antu. Serius dari hati, Nasi Lemak Antu ini memang super duper sedap, ditambah dengan Ikan Gonjeng Masin.

Alamat :

No 41 Jln BP 7/2 Bandar Bukit Puchong 2, Bandar Bukit Puchong, 47120 Puchong, Selangor

FOTO : ROHAIDA ZULKIFLI