ROTI LAPIS DAGING

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Bila tiba bab puding jenis ini panjang sikitlah penerangannya. Selalunya orang cuba buat tak menjadi. Tu yang payahnya. Baiklah, biar pun ia nampak ringkas, tapi ia bergantung pada beberapa hal juga.

Pertama jenis loyang. Kalau resipi di bawah ini saya gunakan loyang kecil yang jenis pakai buang. Alah bekas kertas aluminium yang macam buat kek tu. Kalau tak de pun, boleh je pakai loyang ayang ada kat rumah tu. Kalau boleh gunakan loyang yang kecil jangan lebar sangat dan ukurannya agak tinggi.

Kalau guna loyang yang sempit ia lebih mudah dikeluarkan dan lebih cantik serta senang nak dihidangkan.

Roti yang saya gunakan ini tidak dikisar tetapi cukup direndam dalam susu segar atau susu cair dicampur dengan bancuhan telur. Tak kisahlah roti jenis apa, roti berserat ataupun roti putih yang biasa tu. Kalau boleh jangan dibuang tepinya. Jumlah roti memang payah nak dibagi tahu, sebab kita guna loyang yang berbeza.

Itu tak penting dan penerangan cara bagaimana nak buat puding ini pastinya memudahkan kerja anda. Apa yang perlu anda tahu yang puding ini hanya dilapiskan dua sahaja. Bawah roti, tengah inti dan atas roti semula. Ketebalannya tak kisah la, ikut banyak mana roti dan inti anda gunakan dan berapa besar loyangnya pulak!

Susah-susah sangat anda bolehlah gaya dengan cara anda sendiri, asalkan resipinya anda ikut.

 

BAHAN INTI

2 cawan daging/ayam kisar

2 labu bawang besar – dadu

4 biji tomato – dadu

1 cawan cendawan hitam – dadu

2 cubit lada hitam

Garam dan gula

½ cawan sos cili

Mentega

 

BAHAN LAIN

Roti keping

Susu segar/susu cair

4 biji telur

4 sudu besar mentega

 

CARA MENYEDIAKAN

  1. Panaskan mentega dalam kuali, tumis bawang hingga layu.
  2. Kemudian masukkan daging ataupun ayak kisar, bersama bahan inti yang lain. Tumis sehingga kering. Ketepikan.
  3. Ambil bekas, satukan susu segar ataupun susu cair, dan pukulkan telur serta mentega. Kalau susu segar tu belikan satu kotak besar. Kalau susu cairdua tin.
  4. Susun roti selapis ataupun dua lapistapi rapat dalam loyang. Tuangkan sebahagian adunan susu. Biarkan ia menyerap. Tuangkan semua inti di tengahnya.
  5. Lapiskan lagi dengan roti menutupi inti. Tuangkan lebihan bancuhan susu. Tak apa kalau semuanya tenggelam. Itu sebabnya loyang anda gunakan mesti tinggi.
  6. Bakar pada suhu 190 selsius selama sejam. Setelah setengah jam, perhatikan agar lapisan atas tidak hangus, dan kalau mula hangus gunakan api bawah sahaja setelah setengah jam dibakar.
  7. Kalau anda guna loyang kecil, susu segar tidak perlu guna yang kotak besar. Cukup yang sedang dan kalau anda guna susu cair cukup satu tin. Telur tak apa kalau digunakan lebih pun sebab ia mengikat adunan menjadi lebih padu.

 

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan