Melalui peristiwa hitam ditipu oleh rakan kongsi lebih RM50 000 ketika mengusahakan perniagaan kosmetik beberapa tahun yang lalu membuatkan Wan Suziati Wan Aziz, 34 kini lebih berhati-hati. Namun tiada siapa yang menyangka kini, dia bangkit dari kegagalan lalu dengan mengusahakan perniagaan keropok.
Tidak pernah mengenal erti putus asa dalam perniagaan bagi memastikan impiannya menjadi usahawan berjaya tercapai.
“Hidup saya ketika itu memang susah, setelah bercerai dengan suami beberapa tahun lalu. Saya nekad ingin jalankan perniagaan kosmetik kerana saya memang minat berniaga. Tetapi kerana terlalu percayakan kawan saya pula yang di tipu.
“Saya bernasib baik kerana saya di kelilingi oleh kawan-kawan yang sentiasa ada di dalam susah dan senang. Selepas itu, seorang kawan datang bertanyakan sama ada saya berminat ke tidak untuk membuat bisnes keropok. Tanpa berfikir panjang saya bersetuju.
“Selama dua bulan setiap hari saya belajar proses membuat keropok dari awal hinggalah akhir. Di tengah panas menjemur keropok keping satu pengalaman baru bagi saya,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.
BANGKIT SEMULA
Walaupun terpaksa menempuh jatuh dan bangun, termasuk ditipu pada peringkat awal, ia bukan penghalang buat Wan Suziati untuk terus bangkit memanfaatkan modal yang dikumpulkan untuk membuka kedai keropok di Kampung Banggol Pauh di Kuala Terengganu pada 2014.
Dengan berbekalkan modal hampir RM50 000 dari sedikit simpanan sendiri dan pinjaman dari keluarga rapat yang mahu melihat nya berjaya. Ternyata usaha dan strateginya tidak sia-sia apabila keropok keluarannya menerima sambutan hangat, terutama daripada orang luar yang bertandang ke perkampungan berkenaan.
Penyediaan keropok lekor amat mudah, namun tanpa sukatan betul ia tidak akan menghasilkan rasa dan tekstur yang boleh memikat hati penggemarnya.
“Setiap hari sebanyak 200 kg keropok lekor di hasilkan dengan menggunakan ikan selayang yang akan menghasilkan keropok yang lebih sedap dan strukturnya lebih lembut berbanding jenis ikan yang lain. Di sini kita mempunyai pembekal tetap yang menghantar isi ikan sahaja. Kita menggunakan 70 peratus isi ikan segar untuk menjamin keenakan rasa keropok lekor.
“Kemudian isi ikan akan di proses dengan tepung sagu yang telah di ayak. Seterusnya melalui proses adunan, skop, gentel dan rebus selama 10 minit sahaja. Setelah itu, keropok perlu diangkat dan ditos selama 30 minit sebelum di vakum.
“Tujuan vakum ini untuk kita bekukan. Ini memberi kelebihan untuk mereka yang dalam perjalanan jauh supaya keropok lekor lebih tahan lama,” katanya yang turut berkongsi tip supaya merebus keropok lekor bervakum dengan plastiknya sekali ketika air sedang mendidih supaya air ikan dalam keropok tidak hilang.