Ramai yang tidak mempunyai masa untuk pergi ke pasar setiap hari bagi mendapatkan bahan-bahan segar. Oleh itu, ramai antara kita terutamanya golongan ibu yang bekerja terpaksa membeli stok selama seminggu lebih awal.
Kebiasaannya sayur-sayuran akan disimpan di dalam peti ais dengan harapan kesegarannya mampu bertahan lebih lama sehingga ke hari ia mahu digunakan.
Namun kebanyakannya pasti berakhir dengan sayur layu, kehitaman dan berair. Sebenarnya terdapat cara untuk mengekalkan kesegaran sayur agar ia mampu tahan sehingga dua minggu. Kami kongsi kan tip bersama anda.
- Jangan basuh
Mungkin amalan ini dianggap tidak bersih oleh kebanyakan orang. Namun percayalah sayur-sayuran seperti bayam, brokoli, sawi dan salad mampu bertahan lebih lama jika ia tidak dibasuh sebelum disimpan di dalam peti ais.
- Lapik tisu
Satu lagi cara untuk mengelak sayur-sayuran mudah lembik ialah dengan meletakkan tisu di bawah lapisan bekas yang digunakan untuk menyimpan. Tisu yang bersifat menyerap boleh menyerap lebihan lembapan, sekali gus menghalang pertumbuhan kulat.
- Balut dengan plastik
Untuk sayuran yang mempunyai kulit seperti timun dan lobak merah, pastikan anda memotong sedikit bahagian atasnya terlebih dahulu sebelum disimpan.
Kemudian sapukan sedikit garam dan minyak kelapa pada bahagian tersebut. Garam dan minyak kelapa dipercayai dapat mengawal pertumbuhan kulat pada bahagian isi sayur-sayuran. Akhir sekali, balut menggunakan plastik pembalut dengan kemas dan simpan dalam peti ais.
- Asingkan sayuran yang rosak
Satu lagi tip untuk membantu sayur tahan lama adalah dengan mengasingkannya daripada sayur yang rosak. Untuk itu, sebelum menyimpannya di dalam bekas mahupun peti ais, pastikan anda memilih sayuran yang mulai layu dan rosak. Jangan sesekali mencampurkannya kerana ia boleh berjangkit, sekali gus mempercepatkan sayur rosak.