Oleh: ASMAT FIKRI

Setiap wanita yang bergelar isteri atau ibu, samada yang bekerjaya atau suri rumah pasti menghadapi masalah kesuntukan masa atau tidak tahu menu apa untuk memasak. Ini membuatkan kita rasa kurang semangat untuk menghayun langkah ke dapur. Jadi, di sini SAJI cuba bantu anda dengan memberi 10 tip agar aktiviti memasak kita jadi mudah dan menyeronokkan!

  • PENGASINGAN LAUK

Asingkan terus lauk-pauk yang ada seperti ayam, ikan, udang dan sotong. Siang siap-siap dan kalau boleh asingkan mengikut kuantiti yang anda perlukan setiap kali memasak.

  • BEKASKAN BAHAN MEMASAK

Bawang, sayur, cili api, dan bahan-bahan memasak lain kalau boleh asingkan kat dalam peti. Pastikan guna bekas yang ‘transparent’ untuk memudahkan kita melihat apa isinya. Selain itu, jika bahan memasak itu sudah habis atau hampir habis, senang untuk kita mengetahuinya dan cepat-cepat tambah stok baharu.

  • KOPEK BAWANG

Setiap hari minggu, pasti ada masa terluang kan? Apa kata isikan masa itu dengan mengopek bawang. Selepas itu masukkan ke dalam peti sejuk, bila nak guna, ambil saja.

  • KISAR CILI KERING

Benar atau tidak, banyak masakan seharian kita yang menggunakan cili kering kisar. Setiap kali ingin memasak dan masa tu juga nak basuh cili kering, nak rebus lagi, kemudian asingkan biji sebelum kisar, pasti melecehkan. Itu yang melambatkan aktiviti memasak kita. Jadi, jika ada masa, pastikan kisar cili kering banyak-banyak, masukkan dalam bekas dan simpan dalam peti sejuk.

  • BASUH DAN RENDAM SAYUR DENGAN AIR GARAM

Sayur ini masalahnya cepat layu dan rosak. Apa yang kita boleh buat, basuh dan rendam dengan air garam dalam masa lebih kurang 5 minit. Kemudian tuskan dan masukkan ke dalam bekas sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. Proses ini boleh melanjutkan tempoh kesegaran sayur.

  • REBUS DAGING

Buat siap-siap kan senang! Stok rebusan jangan pula dibuang, boleh digunakan untuk masak sup nanti. Daging yang sudah direbus bolehlah dimasak kari atau kurma. Kan lebih mudah dan cepat.

  • BUAT PES

Ini pun nak kena rajin…dari tak buat apa-apa hujung minggu tu, baik kita buat aneka pes misalnya pes asam pedas, kari atau sambal. Botolkan dan simpan di dalam peti ais. Masa nak digunakan ambil saja.

  • NYAH BEKU BAHAN BASAH

Keluarkan bahan basah empat jam lebih awal dari peti sejuk untuk proses nyah beku. Tibanya waktu hendak memasak, ia sangat mudah dan menjimatkan masa tak perlu tunggu lama-lama.

  • BERSIHKAN SINKI

Sangat penting! Sebaik habis menumis setiap satu bahan masakan, terus sahaja basuh bekas atau pinggan yang digunakan. Jangan dilonggokkan sekali gus, sudahnya berkecah dapur nanti. Sambil-sambil itu, tangan lap kotoran di sekitar sinki atau dapur.

  • BUAT SENARAI MENU MASAKAN

Ini juga penting. Banyak dalam kalangan kita yang menghabiskan masa dengan memikirkan menu masakan untuk dimasak. Tidak kurang juga yang google atau search menu-menu yang menarik. Proses itu sebenarnya mengambil masa yang agak lama. Jadi, apa yang boleh SAJI cadangkan ialah, buat senarai menu untuk seminggu siap-siap. Ia membantu anda mempercepatkan proses memasak dan anda tidak lagi perlu pening-pening memikirkan menu apa yang akan dimasak.