MEE KOLOK HALAL DI SUNGAI BESI

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Mana nak dapat mee kolok halal? Sesekali kepingin merasai hidangan popular masyarakat Sarawak, jika ada pun, pasti yang tidak halal. Kita hanya mampu melihat sambil menelan liur.

Sudah rezeki Saji barangkali, terjumpa sebuah stall di kawasan food court tempat letak kereta bertingkat di Pekan Sungai Besi yang menawarkan hidangan Sarawak. Dan harganya cukup munasabah ke munasarawak?

Menu pertama yang dilihat sudah pasti Mee Kolok…yeaaaa! Akhirnya misi berjaya. Dan petanda yang cukup baik, gerai ini sentiasa padat dengan pengunjung. Dan lebih menarik lagi, pemilik berasal dari Sarawak dan cukup arif dengan menu masakan Cina.

Kata pemilik, Dayang Nur Faliza binti Abdullah, Mee Kolok, Laksa Sarawak dan Sup Wantan merupakan menu paling popular di Dayang Sarawak Corner. Secara purata, sebanyak 600 mangkuk Mee Kolok terjual setiap hari. Kau rasa? Malah dia memastikan semua bahan masakan diimport terus dari Sarawak demi memastikan keaslian rasanya.

SAJI dihidangkan dengan Mee Kolok, Laksa Sarawak dan Sup Wantan bersama Teh 3 Layer dan ABC Sarawak. Berpinar mata tak tahu mana nak mulakan. Semuanya cukup mengundang rasa.

Kata Dayang, selalunya Mee Kolok boleh dipilih sama ada mahu dihidangkan bersama daging atau ayam. Malah pelanggan boleh meminta cili potong seperti cara orang Sarawak kerana kebiasaannya dia hanya memberikan cili kicap.

Sik nyaman…bak kata Orang Sarawak. Rasanya cukup ringan dan segala perasa diadun sempurna. Sesuai untuk sarapan pagi atau minum petang. Hirisan daging yang cukup lembut bersama kunyahan mee, aduhhh…enak.

Dan Laksa Sarawak…kalau anda sukakan masakan Cina, pasti menu ini akan menjadi pilihan. Kuahnya cair namun lengkap dengan segala rasa yang diperlukan. Perahan limau dan sedikit sambal memberikan ‘kick’ pada setiap kunyahan. Serius sedap, tak tipu punya. SAJI hirup sampai ke titisan terakhir.

Sup Wantan, selalunya akan dipesan bersama Nasi Ayam. Wantan hasil air tangannya cukup lembut dan padat dengan isi. Sekali hirup, habis tertelan wantan dek kerana kelembutannya…(hahaha).

Kepada orang Sarawak yang merindui masakan kampung halaman, cepat-cepatlah berkunjung ke sini. Kalau nak makan ABC Sarawak dan Teh 3 Layer yang menggunakan gula apung, di sinilah juga tempatnya.

Dan lebih menarik, kata Dayang, dia bakal menambah beberapa menu tidak lama lagi antaranya Meehun Belacan, Sotong Tutok dan Linut. Haaaa….terliur kan?

FOTO : SYAFIQ AFFENDY HJ SHAMSULAKMAR

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan