KETENANGAN HARUS DICARI – LONE PINE HOTEL ADA UBATNYA

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Angin bayu menerpa lembut saat tiba di perkarangan hotel. Sesekali terdengar deruan ombak memukul pantai. Segalanya terasa cukup nyaman dan indah. Suasana yang cukup sukar diluahkan dengan kata-kata, namun aura positif mula memuncak naik.

90 bilik yang terletak di Lone Pine Hotel, Batu Feringgi, mempunyai ciri-ciri yang cukup istimewa dan sudah tentunya cukup sesuai untuk pasangan yang sedang berbulan madu. Mana tidaknya, setiap bilik dilengkapi tub mandi di ruang balkoni yang mengadap laut. Jangan lupa nyalakan lilin aromaterapi dan nikmati detik ketenangan. Indah tak terkata.

Apa yang menarik, butik hotel ini masih mengekalkan rekaan zaman kolonial dengan tidak mengubah bentuk asal bangunan yang dibangunkan sejak 1948 ini. Kemegahan ditonjolkan dengan cukup elegen menerusi ciri-ciri hotel namun disulami dengan penuh rasa damai dan ‘merdeka’.

Pesan SAJI jangan sesekali lepaskan peluang bersantai di ruang ‘Lepak’ untuk mengambil bahan bacaan dan terus menuju ke ‘hammock’. Perasaan dapat bermalasan sambil berbuai ditemani pemandangan indah laut, aduhaiiii…andai dapat diulang kembali.

Hey, kalau sudah bercuti ke hotel, tak sah kalau tak mandi kolam kan? Lone Pine cukup teliti dengan setiap perincian dan mahukan yang terbaik untuk tetamu yang datang. Dibahagikan kepada kolam dewasa dan kanak-kanak, kawasan renang ini turut dilengkapi dengan ruang khemah untuk bersantai dan juga bean bag. Kalau bawa anak-anak, alamatnya dua jam pun tak cukup lagi. Memang seronok.

Kalau-kalau cuaca tidak mengizinkan, anda boleh juga ke bilik permainan untuk meluangkan masa. Ada Karom, Pool, Playstation 3, Permainan Papan dan banyak lagi. Dan malas memandu waktu bercuti? Jangan risau, Lone Pine Hotel menyediakan Bas Shuttle untuk ke Georgetown. Apa lagi? Haaa…setiap makanan dan minuman yang tersedia di dalam bilik adalah percuma. Dan butik hotel mewah ini turut menyediakan kain pelekat dan kain batik di setiap bilik.

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan