Sekiranya anda bercuti ke bandar-bandar besar di Indonesia, jangan lepaskan peluang menikmati jus terung Belanda. Terung Belanda atau tamarillo, hidup subur di New Zealand, Australia, Hong Kong, China, India dan Amerika Syarikat. Jika di Malaysia, terung Belanda ini banyak terdapat di Sabah.

Terung Belanda atau nama saintifiknya cypomandra, kian popular. Buah ini juga dikenali dengan nama terung kori dan secara meluas di Bogor pada tahun 1941 yang dibawa masuk oleh penjajah Belanda. Pokok ini tumbuh subur di kawasan pergunungan yang mengalami cuaca agak sejuk.  Pengambilan jus terung Belanda ini, sangat baik untuk kesihatan.

Untuk dijadikan jus,  buah ini dicampurkan dengan susu pekat ataupun susu cair dan sedikit gula.  Ia boleh menurunkan kolesterol, menurunkan tekanan darah tinggi dan menyembuhkan ulser. Buahnya yang berwarna ungu kemerahan juga kaya dengan vitamin A dan C, serta kaya dengan antioksidan dan seratnya boleh mencegah barah serta sembelit. Selain dibuat jus, terung Belanda juga boleh dimakan mentah serta dicampurkan dalam masakan.

Pokok terung Belanda  ditanam menggunakan biji benih sama seperti pokok terung biasa. Dalam tempoh dua tahun pokoknya akan menghasilkan buah dan jangka hayatnya hanya mencapai enam tahun.