5 JENIS BUNGA INI BOLEH DIMAKAN. CUBA RASA..

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

BUNGA TONGKENG

Bunga tongkeng atau nama saintifiknya telosma cordata, hidup menjalar dan akan menghasilkan bunga yang berjambak-jambak jika hidup subur. Bunga tongkeng  berwarna putih kekuningan, akan mengeluarkan bau harum di waktu malam. Di sebalik namanya yang unik itu, bunga tongkeng  ini sebenarnya boleh dimakan.

Ia kaya dengan karbohidrat, protein, vitamin A dan vitamin C. Pucuk bunga tongkeng enak dibuat kerabu, gulai atau pun digoreng. Rasanya agak sedikit pahit tetapi sedap. Masyarakat Cina pula, lebih suka makan sup bunga tongkeng.

BUNGA DURIAN

Tidak ramai yang tahu, bunga durian juga boleh dimakan. Jika ada bunga durian yang bertaburan, jangan dibuang. Bunga durian berwarna putih berkrim ini selalunya dikutip ketika waktu panas. Jika waktu selepas hujan, bunga durian akan berlendir. Di Negeri Sembilan, kebiasaannya bunga durian akan dibuat  gulai ataupun rendang. Jika di Sarawak pula, bunga durian enak digoreng bersama belacan dan cili padi.

Bagaimanapun, bunga durian perlulah dibersihkan terlebih dahulu. Buangkan lendir dipangkal hujung bunga.  Bunga durian juga boleh dibuat kerabu tetapi bunganya kenalah dicelur terlebih dahulu.

Kredit Foto : animhosnan.blogspot.com

BUNGA BETIK

Ramai yang tidak suka makan bunga betik. Kata mereka pahit. Tetapi sebenarnya ada cara untuk menghilangkan rasa pahit bunga betik. Antaranya rendam bunga betik dengan asam jawa, asam gelugur ataupun daun senduduk, tak pun paling senang, ramaskan daun betik dengan garam sebelum memasaknya.

Bunga betik boleh digoreng tumis atau dibuat kerabu. Paling tidak pun dijadikan ulaman. Rasanya lemak-lemak pahit. Sesuai bagi mereka yang menghidap darah tinggi dan kencing manis.

Kredit Foto : fizalgk.blogspot.com

BUNGA NIPAH

Nipah adalah sejenis pokok palma yang hidup di hutan paya bakau yang kebanyakannya  berdekatan tepi laut ataupun di kuala sungai. Daun nipah berbentuk tirus panjang dan agak keras dan sering dijadikan atap rumah. Boleh dikatakan hampir keseluruhan pokok nipah boleh digunakan. Daun nipah jika dikeringkan boleh dibuat rokok daun. Buah nipah pula, boleh dimakan dan isinya seperti buah kabung. Manakala air nira nipah, dijadikan manisan atau gula nipah. Bunga nipah juga sedap dibuat kerabu atau masak lemak.

Bunga nipah akan berbunga secara bergugus dicelah-celah pelepah nipah dan di hujung tangkainya menghasilkan buah. Tidak kira apa jua masakan, bunga nipah yang telah dibersihkan perlulah direbus untuk menghilangkan rasa pahit. Selepas itu, barulah boleh dimasak.

BUNGA KEKWA

Bagi penggemar air teh bunga, inilah bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan teh yang sedap.  Bunga kekwa berwarna putih kuning akan dikeringkan terlebih dahulu, sebelum direndam menjadi teh bunga. Tetapi hanya bunga kekwa jenis chrysanthemum coronarium sahaja yang boleh dimakan. Di China, bunga kekwa ditanam sejak kurun ke-15 dan merupakan salah satu pokok herba yang sangat dihargai kerana mempunyai banyak khasiat antaranya menyejukkan badan, anti radang, merawat permasalahan kulit, merawat hati lemah, memperbaiki daya penglihatan serta merangsang pengedaran darah.

Masyarakat Cina, juga menjadikan bunga kekwa antara menu sihat yang diamalkan sejak sekian lama. Kebiasaannya bunga kekwa akan digoreng bersama hirisan bawang putih dengan sedikit cili kering dan akan dihidangkan panas-panas.

 

 

 

 

 

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan