Ikan susu atau dikenali juga sebagai ikan bandeng, merupakan sejenis ikan bertulang banyak. Ia seperti ikan terubuk, tetapi sisiknya lebih berkilat dan kecil. Bentuk badannya agak panjang berbanding terubuk. Ikan susu yang popular di Filipina, Taiwan dan Indonesia ini, mempunyai rasa isi yang lemak dan lembut.
Kini di Malaysia, ikan susu dibela dalam sangkar di muara laut di perairan Tawau, Sabah dan dikenali sebagai ikan baulu. Ia dijual pada harga antara RM7 hingga RM8.50 sekilogram melonjak kepada RM13 hingga RM15 sekilogram selepas diproses atau tanpa tulang. Di pasaran Semenanjung, ikan susu datangnya dari Johor yang sudah mula menternaknya di sangkar.
Di Hawaii ikan susu dipanggil awa, di Filipina pula digelar bangus dan ia merupakan ikan kebangsaan negara tersebut. Ikan ini boleh membesar sehingga 5 kaki dan terdapat banyak di Lautan India dan Lautan Pasifik. Ikan susu sewaktu usia kecilnya banyak hidup di kawasan paya bakau dan tasik, sebelum menghabiskan masa dewasanya di lautan. Ikan susu dipercayai hidup sejak 800 tahun lalu di perairan Filipina dan kemudian ia membiak sehingga Indonesia serta Taiwan melalui Lautan Pasifik.
Di Indonesia, satu cara baru untuk menikmati ikan ini ialah dengan proses tekanan (presto). Proses ini membuatkan tulang ikan menjadi lembut dan boleh dimamah bersama isi ikan. Selain itu ikan susu boleh disalai, dimasak asam rebus, pindang, acar, goreng berlada, bakar, kukus dan pais. Jom kita cuba resipi ikan susu bakar ini.
IKAN SUSU BAKAR
BAHAN
1 ekor ikan susu
4 helai daun salam/daun limau purut
1 biji lemon
3 sudu besar sos ikan
1 sudu besar gula
4 helai daun kunyit
BAHAN HIRIS
7 ulas bawang putih
4 batang serai
6 cm halia
11 tangkai cili padi
CARA
- Ikan susu dibersihkan dan diketepikan.
- Lapikkan daun kunyit dan letakkan daun salam atau limau purut serta ikan susu di atasnya.
- Satukan ke semua bahan hiris dan gaulkan dengan gula, sos ikan dan lemon.
- Tuangkan di atas ikan, bungkus ikan dengan daun kunyit diikuti dengan kepingan aluminium foil dengan kemas.
- Bakar di atas kuali dan kalau boleh kuali hendaklah ditutup bagi menghasilkan wap.
- Selain dibakar, anda boleh juga kukus. Ikut cita rasa masing-masing.