UBI KELEDEK MENU KETIKA DARURAT – SEMBANG CHEF AZLI

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Dari kecil saya tinggal bersama arwah nenek dan datuk di kampung Kondok, Nilai Negeri Sembilan sehinggalah saya tamat sekolah menengah. Ketika saya kecil, atuk saya suka bercerita sejarah-sejarah Tanah Melayu. Cerita dari dia mula jadi askar sampailah insiden zaman dia berperang dengan tentera Jepun. Datuk saya garang orangnya. Pernah saya dikejarnya keliling rumah sebab berebut nak tengok siaran TV dengannya.

Bila teringatkan gelagat atuk, adakala lucu juga sebab ada saja cerita kelakar yang keluar dari mulutnya. Di kampung, atuk saya di kenali dengan panggilan Lembab walaupun nama sebenarnya adalah Mahat. Tanyalah dengan semua orang kampung siapa yang tak kenal Lembab, seorang Ketua kampung merangkap dukun yang sering mengubati orang sakit ketika itu. Saya pun tidak tahu kenapa atuk dipanggil Lembab. Orang dulu-dulukan..

Seingat saya, atuk sangat kuat mengingati setiap peristiwa sejarah yang dilaluinya. Yang paling saya kagum atuk boleh ingat tarikh kejadian lagi. Itulah kelebihan arwah atuk. Atuk pernah bercerita pada saya, pada zaman Jepun dulu makanan yang sangat popular pada masa itu adalah ubi kayu, ubi keledek, pucuk-pucuk kayu seperti pucuk ubi dan pucuk manis.

Maklumlah zaman daruratkan… Ubi keledek antara makanan mewah ketika itu. Teringatkan atuk sering berkata, ubi keledek sangat berkhasiat jika kita pandai manfaatkan. Dek kerana pesan atukitu, pada kali ini saya akan bercerita tentang kisah ubi keledek.

Kebetulan ada pula lebihan keledek di dalam peti ais. Tahukah anda bahawa terdapat lebih 7000 jenis ubi keledek di dunia. Antara yang terdapat di pasaran adalah keledek yang isinya berwarna putih, oren, merah dan ungu. Nama saintifiknya adalah Ipomoea batatas daripada keluarga Convolvulaceae. Ia tumbuh berakar dalam tanah, berkanji apabila dimasak, rasanya manis. Ubi keledek juga boleh dipelbagaikan cara memasaknya. Ia boleh dipanggang, dipurikan, kukus, rebus, goreng dan dibakar. Anda boleh tambahkan ia ke dalam sup dan stew, atau gril dan campurkan dengan sayur-sayuran hijau untuk salad yang lazat.

Purikan ia dan tambah dalam minuman smootie atau dalam kek dan pastri. Pasti terangkat! Saya nikmati ubi keledek dengan hanya cukup merebuskannya sahaja. Itupun dah sedap! Selain kanji, keledek mengandungi karbohidrat kompleks, serat dan beta karotin dan ia juga mengandungi lain-lain mikro nutrien seperti vitamin B5, vitamin B6, manganese dan potassium.

Ia kaya vitamin D yang memainkan peranan penting dalam aras tenaga kita dan membantu untuk membina tulang, jantung, saraf, kulit, gigi yang sihat serta menyokong kelenjar tiroid. Ubi keledek secara semulajadi berasa manis tetapi gula semulajadinya dengan perlahan dilepaskan ke dalam aliran darah, membantu untuk memastikan satu sumber bekalan tenaga yang seimbang dan tetap. Selain dapat mengawal gula dalam darah yang boleh menyebabkan keletihan dan pertambahan berat badan berlebihan. Jadi tidak hairanlah zaman darurat dulu keledek menjadi pilihan kerana dapat memberikan bekalan tenaga harian.

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan