Anda boleh pilih mana-mana pasta, yang pendek, yang kerinting, yang kurus melidi, yang leper yang bulat dan yang melengkung. Pendek kata namanya pasta. Cara tumis pasta ini agak pelik, kerana ia menggunakan resipi cara orang kita.

Resipi ini menggunakan cili padi bagi rasa pedas, kerana biasanya pasta orang Barat selalu disalut dengan minyak zaitun yang ditambah dengan perisa herba-herba tertentu.

Sama saja seperti menggoreng mi atau mihun, tetapi pasta ini saya gunakan cili padi kerana bagi mengelakkan warna merah. Jika nak lebih enak, kita letakkan akar pokok ketumbar. Akarnya kita basuh bersih dan hiris halus dan boleh ditumis bersama bawang. Aromanya lebih bangkit berbanding menggunakan daun ketumbar. Sebenarnya akar daun ketumbar menyimpan khasiat yang banyak, oleh sebab itu orang China dan Korea mengeringkannya dan dijadikan makanan ataupun dalam rebusan air.

 

BAHAN-BAHAN

Pasta – rebus dan tus

Cili padi – tumbuk

Bawang putih – tumbuk

Brokoli

Sotong atau udang

Garam

3 tangkai akar daun ketumbar – tumbuk atau hiris

 

CARA MENYEDIAKAN

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang, cili dan akar ketumbar.
  2. Masukkan sotong dan pasta. Taburkan sedikit garam.
  3. Tutup agar wap naik dan menjadikan pasta lebih mesra dengan bahan-bahan tumisan.
  4. Akhir sekali masukkan brokoli.