Fenomena jadinya apabila juri MasterChef UK musim ke-14 memberi komen bahawa rendang sepatutnya dimakan rangup sehingga mengorbankan ‘nyawa’ peserta kelahiran Kuantan, Zaleha Kadir Olpin pada April lalu.

Bahang terasa sehingga negara jiran, Singapura, Indonesia dan Brunei turut sama berdebat mempertahankan hidangan tradisi nusantara, Rendang Ayam. Pasal rendang pun boleh bergaduh tau!

Lama Saji memendam hasrat untuk berbual dengan Zaleha. Pelbagai persoalan muncul apabila melihat sendiri episod bersejarah itu lebih-lebih lagi Zaleha digambarkan seolah-olah tidak mempertahankan hidangannya.

“Sebenarnya sewaktu disingkirkan kerana rendang ayam, pada fikiran saya, habislah. Tentu masyarakat Malaysia akan mengecam teruk kerana ianya adalah satu hidangan kebangsaan dan wajib di atas meja makan. Memang sedih dan teramat kecewa sampai tidak boleh tidur apabila tersingkir kerana alasan juri, rendang tidak rangup.

“Rendang sangat signifikan dalam hidup saya. Dahulu, setiap hari sebelum masuk sekolah, saya akan singgah membeli nasi lemak rendang ayam. Dan hidangan inilah yang telah membibitkan percintaan antara saya dan suami, saya masak rendang ayam ketika pertama kali berjumpa.

“Jadi apabila disebabkan rendang ayam, saya tersingkir, kesedihannya sangat mendalam.

“Dan sebenarnya saya sudah jelaskan kepada juri bahawa rendang tidak pernah rangup, namun bahagian itu telah disunting, jadi dilihat seolah-olah saya membenarkan kritikan mereka,” ulasnya yang pulang seketika ke kampung halaman pada Ogos lalu.

Dikenali sebagai ‘makcik rendang’, kata Zaleha biarpun jenama ‘rendang crispy’ dilihat menjadi trademark kepada dirinya, namun itu bukan bermakna dia harus mengambil kesempatan di atas kejadian yang berlaku.

Mengakui ada yang memberi cadangan supaya dia mengenengahkan menu ‘Rendang Crispy’ menjadi ciptaan mutlak dalam keluaran akan datang buku resepinya, namun wanita yang kini menetap di Bristol ini menolak mentah-mentah.

“Saya tidak mahu mengambil kesempatan. Rendang adalah makanan tradisi dan saya harus kekalkannya seperti itu. Biarlah rendang dihidangkan dengan cara paling original kerana dengan ini barulah masyarakat luar dapat merasai dan memahami makanan kita, orang Malaysia.

“Kita seharusnya mendidik orang luar agar lebih mengenali makanan Malaysia dan inilah yang sedang saya usahakan sekarang,” kata bekas akauntan yang telah berkhidmat selama 12 tahun bersama Petronas ini.

Masterchef UK Musim ke-14 akan bersiaran pada 30 Ogos 2018 pada 8.30 malam di BBC Lifestyle (unifi TV Saluran 512).