MISI HALAL HONG KONG – NGONG PING 360

WhatsApp
Facebook
Twitter
Telegram
LinkedIn

Seolah-olah berada di dalam kotak ajaib dengan pemandangan yang tidak terjangkau dek akal. Kotak ajaib yang mampu menembusi pemandangan ke bawah dan keindahan alam terbentang di depan mata.

1001 satu rasa yang ingin diungkap, segalanya terbenam di dalam hati dek terlalu teruja dengan pengalaman yang cukup unik ini. Perjalanan sejauh 5.7 kilometer selama 25 minit sebelum tiba di Perkampungan Ngong Ping cukup berbaloi.  Menggunakan dua kabel untuk mengemudi kereta kabel dengan pusingan U menjadikan NP360 antara yang terbaik di dunia. Menurut pekerja di sini, pengunjung boleh memilih pelbagai cara untuk tiba di puncak, sama ada dengan bas ataupun mendaki menggunakan trek yang disediakan pihak pengurusan.

Udara segar dingin terus menyapa Saji tatkala tiba di NP360, malah deruan air jernih yang turut menyambut kedatangan pengunjung memberikan sensasi rasa yang cukup indah.

Saji turut mengambil peluang merasai sendiri pengalaman Ngong Ping Walk n Motion Pass dan Ngong Ping Stage Pass. Pengunjung akan dibawa menerokai keindahan Pulau Lantau menggunakan teknik 5D. Selain itu, Saji turut dibawa melihat sendiri pembikinan filem aksi Hong Kong di Ngong Ping Stage Pass. Penonton akan melihat sendiri belakang tabir apa yang berlaku sewaktu penggambaran filem Kungfu. Kostum filem IPMan turut dipamerkan di sini.

Sekadar untuk makluman, Saji sertakan senarai harga untuk kemudahan pembaca.

Kereta Kabel HKD

Dewasa HKD165 = RM91

Kanak-kanak HKD85 = RM47

 

Kabin Kristal

Dewasa HKD255 = RM141

Kanak-kanak HKD175 = RM97

 

Ngong Ping Walk n Motion Pass (Termasuk Kabin Kristal)

Dewasa HKD315 = RM175

Kanak-kanak HKD235 = RM130

 

Ngong Ping Stage Pass (Termasuk Kabin Kristal)

Dewasa HKD315 = RM175

Kanak-kanak HKD235 = RM130

 

 

Setibanya di puncak, angin segar terus menyapa wajah. Udaranya yang disedut menyegarkan seluruh urat tubuh, memberikan satu semangat baru meneruskan penjelajahan misi halal di Hong Kong. Walaupun hanya menawarkan satu restoran halal di sini, namun  percayalah, ianya cukup berbaloi. Puluhan menu tersedia di Ebeneezer’s Kebab. Menurut pengurus, Mohammad Erfan, Ebeneezer’s mengambil langkah menawarkan harga berpatutan kerana sudah menjadi kebiasaan pengunjung untuk berjimat sewaktu bercuti.

Terlanjur bercerita kisah berjalan, Saji sempat singgah di satu-satunya restoran halal di NP360, Ebeneezer’s Kebab. Melihatkan senarai harga  dan menu yang ditawarkan, cukup berbaloi.

Mempunyai 20 cawangan di seluruh Hong Kong, Ebeneezer’s Kebab sudah beroperasi lima tahun di NP360 untuk memenuhi keperluan warga Muslim yang berkunjung. Menurut pengurus, Mohammad Erfan, Ebeneezer’s mengambil langkah menawarkan harga berpatutan kerana sudah menjadi kebiasaan pengunjung untuk berjimat sewaktu bercuti.

Pilihan Saji :

Lamb Biryani HDK75 = RM41

Nasi Kari Ayam HKD60 = RM33

Pizza Supreme HKD110 = RM61

Kebab Ayam Tika HKD65 = RM36

Apa yang boleh disimpulkan, hidangannya cukup enak dengan rasa yang cukup mewah. Kelazatannya terbawa-bawa hingga ke Malaysia.

P/s – Jangan lupa memesan sos pedas untuk memaksimakan tahap kelazatan.

Angin dingin yang bertiup halus dengan kehangatan suapan kebab, indahnya. Penulis menyarankan pembaca untuk memesan Lamb Biryani, Nasi Kari Ayam, Pizza Supreme dan Kebab Ayam Tika kerana ini merupakan menu paling popular dan percayalah, rasanya cukup enak.

Lupakan segala skeptikal apabila menjejakkan kaki ke negara orang. Kadang kala kesukaran itu yang membuatkan kita lebih mensyukuri nikmat di depan mata. Dan jika dipermudahkan, bersyukurlah kerana Allah sentiasa membantu hamba-Nya.

Topik Lain

Saji Eksklusif

Topik Berkaitan