Antara rejim diet yang popular masa kini ialah minum lebih banyak air kosong bagi membuang toksin yang terdapat dalam badan. Cabarannya ialah tidak semua orang menggemari rasa air kosong yang membosankan. Sebenarnya anda juga boleh mendapatkan minuman berperisa kegemaran dengan cara lebih sihat dan bagus untuk badan anda.
Lebih dikenali air detoks, ia merupakan campuran air kosong bersama buah dan sayur segar. Bagi mereka yang tidak pernah mencuba air detoks atau dalam bahasa infused water ini, suka kami diingatkan bahawa ia bukanlah jus.
Anda tidak perlu memerah atau mengisar buah atau sayuran yang digunakan sebaliknya, hanya perlu memotong nipis dan masukkan ke dalam botol air kosong yang dibiarkan sekurang-kurangnya 30 minit.
Berikut kami kongsi kan kepada anda antara campuran buah dan sayur yang popular serta manfaatnya yang bukan sahaja untuk kurus malah kecantikan dan banyak lagi.
- Timun, limau nipis dan lemon
Seperti yang diketahui, timun merupakan sayur yang bersifat sejuk dan cukup baik untuk kulit. Selain itu, kajian juga mendapati bahawa timun mengandungi sejenis sebatian yang disebut sterol yang sangat baik untuk mengurangkan paras kolesterol anda.
Untuk mengimbangi rasa timun yang kurang sedap diminum, cuba gabungkan dengan buah-buahan sitrus seperti lemon dan limau nipis. Bukan sahaja boleh kurus dengan menu diet mengujakan malah kandungan vitamin C dalam lemon dan limau nipis juga baik untuk mencantikkan kulit.
- Strawberi dan kiwi
Kombinasi warnanya yang ceria sudah pasti cukup membangkitkan selera. Sesuai dengan keindahan warnanya, strawberi dan kiwi merupakan antara gabungan air detoks yang sangat bagus untuk kecantikan.
Vitamin B dalam strawberi berfungsi membantu melancarkan perjalanan darah selain mampu meningkatkan metabolisme badan. Sementara kiwi yang tidak mengandungi gula tinggi seperti buah yang lain berupaya menyingkirkan lebihan lemak daripada bertamu pada tubuh anda.
- Lemon, limau nipis dan oren
Mengapa jika merasa loya, kita disuruh mengambil asam ataupun jus oren? Ia kerana buah-buahan yang mengandungi rasa masam, dapat mengubah fokus rasa sekali gus mengalih perhatian kita daripada mual kepada lebih segar.
Begitu juga kesannya jika gabungan buah sitrus digunakan dalam air detoks anda. Paling menarik, lemon, limau nipis dan oren sebenarnya kaya dengan mineral dan asid sitrik yang cukup ampuh membantu pencernaan. Air detoks ini cukup berkesan mengempiskan perut dan membuang lemak pada bahagian paha.
- Pudina, teh hijau dan limau nipis
Satu lagi kombinasi air detoks sayur dan buah ialah pudina bersama limau nipis. Untuk terakhir ini , kami cadangkan teh hijau sebagai pengganti air kosong. Bukan sekadar pemberi warna, teh hijau mengandungi kafein yang rendah dan kaya dengan antioksidan yang baik untuk pelawasan. Sebagai bonus, gabungan tiga bahan ini juga cukup baik untuk mencantikkan kulit dari dalam.