KEUNIKAN PRODUK PEKASAM TANTIES

Tidak takut mencuba dan yakin perniagaan pekasam jika diusahakan secara bersungguh-sungguh boleh mendatangkan rezeki lumayan membuahkan hasil buat tiga beradik Tanti Yusnita, Tanti Mastura dan Tanti Mazlina.

Perniagaan produk makanan pekasam jenama Tanties menerusi syarikat Tanties Trading yang diusahakan mereka sejak tahun 2013 di Alor Setar, Kedah kini semakin berkembang maju dan mendapat sambutan serta permintaan yang tinggi daripada pasaran.

Pengurus Tanties Trading, Tanti Mastura Mahmud, memberitahu mula beroperasi secara kecil-kecilan dirumah, kini mereka telah memindahkan operasi perniagaan ke lokasi yang lebih besar dan sesuai.

“Alhamdulillah, sambutan diberikan sangat baik dan perniagaan kami semakin berkembang maju. Selain dijual secara runcit dan didapati daripada ejen-ejen sekitar Malaysia, kami juga menjual secara online menerusi Facebook, Instagram dan laman web.

“Terdapat pelbagai jenis pekasam ikan yang dihasilkan oleh Tanties Trading iaitu ikan lampam, puyu, talapia, kembung dan siakap. Selain ikan pekasam, Tanties turut mengeluarkan produk pekasam berasaskan daging seperti daging lembu, pekasam daging kambing, pekasam daging rusa, pekasam ayam dan pekasam burung puyuh.

“Idea tercetus apabila ada sesetengah orang tidak makan pekasam ikan tetapi teringin menikmati juadah tradisional ini. Jadi kami menghasilkan pekasam yang berasaskan daging agar mereka mempunyai pelbagai pilihan dalam menikmati pekasam,” kata Mastura.

Tambah Mastura, cabaran yang paling utama adalah dalam menembusi pasaran adalah untuk memperkenalkan aneka pekasam daging. Penerimaan masyarakat terhadap produk pekasam berasaskan daging agak lambat kerana masyarakat mengenali pekasam dengan pekasam ikan.

“Apabila disebut tentang pekasam daging, mereka jadi agak janggal. Jadi menjadi tugas kami untuk meyakinkan mereka bahawa pekasam daging ini lebih sedap dan menarik berbanding pekasam ikan.

“Memandangkan kami masih baru di pasaran, maka kami akan meluaskan pasaran kami di dalam negara termasuk Sabah dan Sarawak. Permintaan luar negara seperti Indonesia dan Brunei sudah ada dan kami sedang meneliti untuk memasarkan produk kami ke sana,” ujar Mastura.

Bercerita tentang cara memproses produk-produk pekasam Tanties, Mastura memberitahu bahawa bahan utama iaitu ikan atau daging akan diperap bersama garam, beras goreng yang dikisar dan gula.

“Setiap bahan mempunyai peranannya masing-masing. Garam sebagai bahan perasa dan pengawet kepada bahan utama. Manakala beras goreng yang dikisar berperanan memasamkan daging atau ikan. Gula pula menambahkan rasa lemak dan melembutkan daging.

“Ikan atau daging perlu dibersihkan dan ditoskan terlebih dahulu. Selepas itu diperap bersama garam dan gula selama tiga hari di dalam bekas yang tertutup. Selepas tiga hari, air perapan akan ditoskan daripada bahan utama dan perapkan pula dengan beras goreng yang dikisar selama satu minggu,” jelas Mastura.
Selain menguatkan kedudukan dalam pasaran tempatan, Tanties sering membuat penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kualiti dan rasa produk keluaran syarikat yang beroperasi di negeri jelepang padi itu.

“Harapan kami produk Tanties mendapat tempat di hati masyarakat dan Tanties menjadi peneraju utama dalam industri pengeluaran jeruk daging dan ikan atau lebih dikenali sebagai pekasam di negara kita.

“Pihak kami juga membuat penyelidikan dalam menaik taraf produk daripada segi kualiti rasa dan pembungkusan dengan bantuan dan pemantauan dari Jabatan Perkhidmatan Venterinar, FAMA dan MARDI negeri Kedah. Insya Allah banyak lagi pembaharuan akan menyusul pada tahun hadapan. Selepas ini kami akan mengeluarkan produk pekasam berperisa pula,” cerita Mastura.

Bagi sesiapa yang ingin merasai keenakan ikan pekasam keluaran Tanties Trading, boleh membeli secara online di laman web www.tanties.com.my atau www.agrobazaaronline.com.my.
Facebook: Pekasam Tanties
Instagram: @pekasam_tanties