Hidangan Ayam dan Daging
Stik Sirloin Dengan Teriyaki Oren

Bahan-bahan:
2 - 4 keping daging stik sirloin - ketebalan 3/4 - 1 inci
Bahan Perapan:
1/2 cawan kicap cair
1/4 minyak jagung
2 sudu besar gula merah
2 sudu besar halia - dikisar
5 ulas bawang putih - dikisr
2 sudu kecil parutan kulit oren
2 sudu besar madu
1/2 sudu kecil lada Cayenne
1/2 cawan jus oren
Hiasan:
Hirisan zucchini, tomato dan nanas
Cara Menyediakan:
1. Masukkan semua bahan perapan ke dalam bekas bersama stik dan perap sekurang-kurangnya enam jam dalam peti sejuk.
2. Gril stik pada suhu sederhana sehingga masak mengikut cita rasa. Sekali-sekala curahkan lebihan air perapan ke atas stik.
3. Hidangkan dengan bahan hiasan.
Ayam Panggang Pingitan

Bahan-bahan Inti:
200 gm isi ikan tenggiri
100 gm daging ayam
100 gm udang - dibuang kulit
1 sudu kecil serbuk ketumbar
5 batang serai - dikisar halus
10 tangkai cili merah - dikisar halus
5 ulas bawang merah - dikisar halus
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
Bahan-bahan B:
1 ekor ayam - dibersihkan tanpa dipotong
300 gm pati santan
15 ulas bawang putih - dimayang
2 cm halia - dimayang
100 gm rempah kurma
6 biji limau kasturi - diperah jusnya
1 cawan minyak sapi
Garam dan gula secukup rasa
Cara Menyediakan:
1. Untuk membuat inti, kisar isi ikan, udang dan ayam hingga halus.
2. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan serai, cili merah, bawang merah dan serbuk ketumbar. Kacau hingga rata dan biarkan hingga garing.
3. Masukkan isi ikan, daging ayam, udang, garam dan gula. Kacau hingga rata dan biarkan hingga masak. Angkat dan sumbatkan ke dalam ayam sebelum dibakar dalam ketuhar selama 45 mini pada suhu 250 darjah Celsius. Bila masak, letakkan dalam pinggan hidangan.
4. Panaskan minyak sapi di dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan yang dimayang. Kacau sehingga naik aromanya kemudian masukkan rempah kurma. Kacau dan biarkan hingga pecah minyak.
5. Masukkan santan, garam, gula dan jus limau kasturi. Kacau hingga rata dan biarkan mendidih. Bila kuah agak pekat, padamkan api kemudian siramkan ke atas ayam. Hias mengikut cita rasa sendiri.
Ayam Vietnam

Bahan-bahan:
7 ketul paha atau kepak ayam - dipotong kecil
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar gula
1 sudu besar kicap
1 biji telur
4 sudu besar tepung ubi
Minyak untuk menggoreng dan menumis
Bahan-bahan Tumis:
(Ditumbuk kasar)
3 batang serai
10 tangkai cili padi
4 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
3 labu bawang besar - dibelah 8
4 tangkai daun kari
Bahan-bahan Perasa:
1 sudu besar serbuk kari daging
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap
1 sudu besar gula
1 sudu kecil kicap pekat
Cara Menyediakan:
1. Ayam dibersihkan kemudian diperap dengan sos tiram, gula, kicap dan telur selama dua jam sebelum digaul dengan tepung ubi.
2. Panaskan minyak dan goreng aam hingga masak. Angkat dan ketepikan.
3. Tuangkan minyak dan tinggalkan anggaran tiga sudu besar di dalam kuali kemudian masukkan bahan-bahan menumis. Kacau sehingga rata dan masukkan bahan-bahan perasa. Kacau lagi.
4. Masukkan ayam dan kacau lagi sebelum diangkat.
Masak Lemak Daging Salai

Bahan-bahan:
1/2 kg daging lembu - disalai
3 cawan santan pekat - dari 2 biji kelapa
2 biji mangga muda - belah 6
2 cm kunyit hidup - kisar
30 tangkai cili padi - kisar
Garam secukup rasa
Cara Menyediakan:
1. Daging salai dipotong sedikit tebal.
2. Masak kunyit dan cili padi dengan secawan air. Bila air daging kering, masukkan dua cawan santan dan kacau rata.
3. Bila daging empuk, masukkan mangga dan secawan lagi santan pekat. Tambahkan garam dan reneh sambil terus mengacau hingga naik minyak.
Ayam Pedas Berempah

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - dipotong 10 & digaul serbuk kunyit dan garam
3 sudu besar rempah kari
3 sudu besar serbuk cili
1 cawan air
3 sudu besar sos tiram
4 sudu besar tomato puri
3 sudu besar sos cili
5 sudu besar madu
2 cm halia - dikisar
1 labu bawang besar - dikisar
5 ulas bawang putih - dikisar
1 biji tomato - dibelah empat
Sedikit kacang pis
Minyak untuk menumis
1 labu bawang besar
Sedikit garam masala
2 tangkai cili merah - dipotong memanjang
Garam dan gula secukup rasa
Cara Menyediakan:
1. Goreng ayam separuh masak.
2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga naik aroma.
3. Setelah garing, masukkan serbuk cili, rempah kari, kacau seketika dan masukkan air.
4. Kemudian masukkan tomato puri, sos tiram, sos cili dan madu. Kacau sebati.
5. Masukkan garam masala dan ayam, kacau sebati serta kecilkan api.
6. Setelah mendidih, masukkan tomato, kacang pis, cili merah, garam, gula secukup rasa dan bawang besar.
7. Setelah masak, angkat dan hidangkan.


